Thursday, January 27, 2011

CIRI-CIRI PENULIS YANG BERJAYA

CIRI-CIRI PENULIS YANG BERJAYA
Disediakan oleh: Shahrol Fahmie bin Suaidi

            Kemajuan negara yang mapan hampir melupuskan keindahan bidang kesusasteraan Melayu.Lebih ramai graduan yang memillih profesion yang berkaitan sains dan teknologi berbanding bidang sastera.Ramai yang beranggapan bahawa bidang sastera tidak boleh menjamin masa depan.Sejauh mana kebenarannya hanya kita yang boleh menjawabnya.Lihat sahaja para novelis yang ada di negara kita.Kebanyakannya dalam kalangan golongan yang berumur berbanding golongan muda.Jika ditanya kepada remaja era modenisasi ini, mereka hanya mengenali A. Samad Said.Walaubagaimanapun, ada yang terpinga-pinga mendengar nama tokoh tersebut.

            Langit cerah di daerah ini ada kemesraanya di
            dalam hati
            perahu-perahu layar yang berlabuh tenang di kaca ombak
            pecahan bulan
            dan gadis manis yang kemanjaan tenggelam dalam
            pelukan sayang
            Ah!Di matanya penuh cahaya, di hatinya penuh cinta

Petikan di atas merupakan salah satu sajak yang telah diperbaharui oleh A. Samad Said.Namun, berapa ramai dalam kalangan kita pernah membacanya?.Tepuk dada Tanya selera.Bidang penulisan merupakan bidang yang abstrak.Bahasa-bahasa puitis yang sangat indah ini diilhamkan dan digarap melalui kemahiran penulisan dan kemahiran bahasa yang tinggi.Para novelis kebiasaanya berjaya menggambarkan sesuatu suasana secara terperinci dan setiap perkataan yang mereka luahkan mempunyai makna tersirat dan membawa mesej tertentu.Profesion seorang penulis tidaklah begitu popular seperti doktor,guru dan arkitek.Hal ini kerana ramai beranggapan penulis zaman ini tidak boleh mencari makan kerana perlu bersaing dengan penulis dari negara luar.Seperti yang kita ketahui, karya dari Malaysia banyak dipengaruhi oleh karya luar seperti karya Indonesia.Hal ini kerana budaya dan cara hidup mereka hampir sama dengan kita.Tidak hairanlah jika ada dalam kalangan kita meminati karya Indonesia berbanding membaca karya anak tempatan.Walubagaimanapun, ia bukanlah satu alasan untuk kita menyekat karya-karya tempatan daripada berkembang.Penulis yang berjaya seperti Datuk A. Samad Said telah membuktikan bahawa keindahan dan keaslian karya ciptaannya berjaya menambat hati para pembaca di peringkat tempatan mahupun peringkat antarabangsa.Justeru, kita perlulah sentiasa ingat bahawa setiap orang yang berada di atas  pastinya bermula dari bawah.Firman Saidina Ali meriwayatkan “Apabila suatu dasar mulia ia akan menimbulkan kepayahan dan memerlukan pengorbanan”.Hal ini kerana sesuatu kejayaan tidak boleh dicapai melalui persediaan yang mantap.Pelbagai persediaan perlu dilakukan untuk menjadi penulis berjaya seperti Faizal Tehrani,Azmah Nordin,Jong Chian Lai dan Mawar Shafie.Kesemua mereka dikatakan sudah bertapak agak lama dalam dunia penulisan.

            Salah satu daripada persediaan untuk menjadi penulis berjaya ialah mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang bahasa serta mempunyai kemahiran menulis dengan baik dalam apa jua bahasa.Setiap plot disampaikan dengan baik dan berjaya menambat hati para pembaca.Hal ini kerana para penulis perlu menguasai setiap kemahiran dari pelbagai sudut untuk variasi penceritaan.Variasi penceriataan boleh disampaikan melalui pelbagai cara seperti dalam bentuk diari,ucapan,monolog dalaman,imbas kembali dan dialog.Pelbagai teknik boleh digunakan untuk menambat hati pembaca kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.Sebagai contoh, Dr. H.M Tuah Iskandar merupakan salah seorang penulis buku-buku motivasi bijak menggunakan kemahiran yang beliau miliki untuk berinteraksi dengan pembaca serta menyampaikan mesej secara santai.Pengalaman beliau sebagai seorang pakar motivasi memudahkan kerja beliau untuk berkongsi 1001 kenangan indah mahupun pahit.Beliau juga bijak menggunakan kemahirannya dalam bidang psikologi untuk menarik minat pembaca bagi mengikuti setaip siri novelnya.Hasilnya, karyanya digemari  oleh semua golongan.Karya beliau berteraskan teladan dan pengalaman mampu mengubah minda masyarakat daripada pesimis kepada optimis.Kelainan Dr. Tuah memberi motivasi terletak pada pendekatannya yang berbeza-beza.Kaedah penyampaiannya begitu unik,mudah difahami dan mudah pula untuk dipraktikkan.Dia mampu meletakkan dirinya dalam hati setiap golongan masyarakat baik dalam bidang penulisan mahupun penampilan.Antara contoh karyanya seperti Nak Ke Tak Nak dan Jangan Tidak-tidak telah laris di pasaran ibarat goreng pisang panas.Keyakinan beliau untuk menceburi bidang penulisan membuahkan hasil yang lumayan.Acapkali kita melihat karya beliau sentiasa diterbitkan episod demi episod.Seperti dinyatakan William Hazlitt, “Bagi mencapai kemenangan,keyakinan amat diperlukan”.  

Pergi melancong bersama Edah,
Sambil melawat pameran inovatif,
Bidang penulisan bidang yang indah,
Disertai oleh novelis kreatif.

            Seterusnya, untuk menjadi penulis yang berjaya sudah pasti seseorang itu perlu banyak menulis terutamanya aspek penulisan yang diminatinya.Penulis juga seperti kerjaya lain yang memerlukan seseorang itu untuk selalu berlatih sebelum berupaya menguasai aspek penulisan dengan baik dan berfikiran lebih kreatif.Latihan demi latihan ini memberikan penulis atau gambaran sebenar tentang cara menulis dan cara mendapatkan ilham untuk menulis.Jadi, seseorang yang ingin menjadi penulis perlulah menulis tanpa ada perasaan jemu.Ini merupakan salah satu strategi bagi merancang sesuatu gambaran karya.Frank Tibolt iaitu tokoh Eropah ada menyatakan, “Seseorang yang mempunyai perancangan dapat mengatasi sepuluh orang yang tidak mempunyai perancangan”.Oleh yang demikian,setiap individu yang ingin bergelar penulis perlulah selalu membawa pen dan kertas bagi mencurahkan segala ideanya bagi menghasilkan karya pelbagai genre sama ada cerpen,novel,puisi,esei kritikan sastera,puisi tradisional mahupun drama.Seiring dengan itu,penulis juga harus memiliki sikap suka berbincang dengan orang  lain tentang sesuatu perkara terutama bahan yang akan dijadikan asas penulisan mereka.Perbincangan ini berupaya menghasilkan satu kefahaman yang sejati tentang tajuk yang sedang ditulis oleh penulis itu.Sikap menerima pandangan membina daripada orang lain menjadikan penulis itu lebih berjaya dan matang dalam penulisannya.Oleh itu, sikap suka berdiskusi memastikan penulis mampu untuk melihat sesuatu tajuk penulisan mereka dengan lebih baik.Kajian juga ada menyatakan bahawa hampir 90 peratus sesuatu pembelajaran itu berjaya melalui perbincangan.Perbincangan ini juga berupaya memberi idea-idea bernas dan lebih berenergi dan saling bertukar pandangan dengan satu sama lain.Jika ada masalah yang timbul,ia lebih mudah diselesaikan melalui kaedah ini.Sebagai contoh, sesebuah buku itu dihasilkan daripada kolaborasi dua orang penulis bagi menyampaikan sesuatu cerita dan mesej.

            Malah, sikap penulis yang baik juga banyak bergantung kepada sikap yang suka mengembara atau berjalan.Keadaan ini membolehkan penulis memiliki banyak pengalaman tentang kehidupan terutama perkara yang boleh menjadi topik penulisan mereka.Pengalaman yang diperoleh menerusi aktiviti berjalan atau mengembara ini berupaya menjadikan penulis lebih matang dan faham tinndakan manusia terhadap sesuatu masalah yang timbul.Sebagai contoh, dalam novel Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said, beliau merupakan salah seorang yang berada di zaman itu.Beliau mengalami sendiri kekejaman tentera Jepun semasa menjajah Tanah Melayu(Malaysia) pada zaman Perang Dunia Kedua iaitu sekitar tahun 1940-an.Peristiwa sejarah ini diolah bagi merakamkan keresahan daan kepayahan hidup masyarakat yang dijajah.Dalam pengolahan cerita, sedaya mungkin beliau cuba membicarakan sesuatu hal dengan jelas dan terperinci.Hal ini kerana beliau memang suka memerhati suasana keliling dengan teliti,tekun dan penuh khusyuk.Lantaran itu, karya beliau telah mendapat pengiktirafan daripada kerajaan seperti Hadiah Pejuang Sastera(1975),Hadiah Penulisan Asia Tenggara,Anugerah Sasterawan Negara (1985) dan Anugerah ASEAN (1993).Pada tahun 1996 pula,  beliau dianugerahkan darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk.Kejayaan beliau menggarap karyanya menyebabkan novelnya DHP(Di Hadapan Pulau) dan ‘‘The Pencil’’ dipilih dalam sukatan pelajaran untuk KOMSAS(Komponen Sastera) sama ada dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu.Sementara itu,sikap yang suka mengembara juga membantu penulis menimba lebih banyak ilmu pengetahuan dan pengalaman.Hal ini kerana pengalaman itu merupakan sesuatu yang amat bernilai dan tidak semua oran merasainya.Jauh berjalan luas pemandangan.Seperti yang dinyatakan Dr.Fadzilah Kamsah, “Pengalaman yang manis dan pahit memang boleh digambarkan, tetapi ia tidak sama dengan orang yang berpeluang merasainya”.

            Tambahan pula,penulis juga harus banyak membaca terutama pembacaan yang berbentuk akademik dan bersesuaian dengan penulisan mereka.Dr. H.M Tuah iaitu pakar motivasi terkenal ada menyatakan “Meluncuri lautan ilmu jawapannya ialah membaca”.Pembacaan memberikan mereka lebih banyak kefahaman tentang teknik penulisan penulis lain dan juga menajamkan minda mereka terhadap sesuatu topik.Apabila mereka rajin membaca,mereka juga dapat mengenal pasti teknik yang lebih unik untuk mereka ketengahkan.Membaca dan penulis merupakan satu ikatan yang tidak boleh ditukar ganti.Pembacaan mendorong seseorang itu untuk membayangkan sesuatu keadaan dan berimaginasi untuk mereka sesebuah plot.Plot yang baik terhasil melalui daya imaginasi yang tinggi.Sebagai contoh, penulis terkenal barat iaitu J.K Rowling menulis buku bersiri “Harry Potter” dengan berimaginasi.Beliau berjaya menjual hampir kesemua novelnya dan mencetuskan satu fenomena.Ada yang sanggup beratur pada awal pagi  di kedai buku semata-mata untuk mengikuti siri kegemaran ramai itu.Jika diamati plot cerita tersebut,para pembaca juga dapat menyelami dunia imaginasi beliau bersama benda-benda pelik seperti kuasa sihir,penyapu terbang dan istana kayangan yang sangat menakjubkan.Walaupun kisah ini merupakan kisah fantasi, ia telah dihasilkan dengan variasi penceritaan dan menimbulkan minat kepada pembaca.Pembaca di seluruh dunia pasti tidak akan ketinggalan mengetahui episod demi episod  kisah “Harry Potter”.Hal ini kerana dunia fantasi J.K Rowling berjaya membuatkan pembaca menerokai alamnya dan beliu bijak memasukkan pelbagai elemen seperti suspens,seram,gembira dan sedih.Bahasa Inggeris yang digunakannya juga mudah untuk difahami dan tidak hairanlah jika orang Melayu,Cina dan India memilih untuk membaca novel karya Rowling.Kelebihan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia memberi tuah kepadanya untuk membolehkan karyanya tersebar ke seluruh pelosok dunia.Beliau antara tokoh yang berupaya mencipta plot yang menarik kerana alam imaginasinya merupakan sesuatu yang baru untuk diceritakan.Seperti yang dinyatakan Adinegora, “Sesuatu ciptaan baru dikatakan berseri-seri apabila orang yang memerhatikannya itu dapat merasakan keindahan dalam jiwanya”.Statistik juga menunjukkan hampir 85 peratus karyanya telah habis dijual di seluruh dunia.

            Selain daripada itu, penulis juga perlulah berfikiran kreatif dan kritis.Hal ini kerana mereka perlu kreatif dalam pengembangan idea dan penyampaian mesej di dalam sesebuah karya.Para pembaca juga akan dapat memahami sesuatu mesej itu dengan lebih mudah jika kaedah penyampaiannya adalah lain daripada yang lain.Sebagai contoh,Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood yang dulunya hanya dikenali sebagai penceramah juga telah menceburi bidang penulisan.Beliau menggunakan pengalaman beliau sebagai pendakwah dan pengetahuannya untuk dikongsi bersama dengan menggunakan ilustrasi sebagai medium bagi menarik minat pembaca.Beliau juga memberi gambaran sebenar untuk memudahkan pembaca memahami sesuatu konsep dan objektif yang ingin disampaikannya.Memetik kata-kata Dr. H.M Tuah Iskandar, “Satu gambar sudah cukup untuk membawa pelbagai makna”.Dalam masa yang sama penulis juga perlulah mempunyai semangat yang tinggi dan tabah dalam mengharungi cabaran sebagai seorang penulis.Ketabahan dan semangat yang tinggi merupakan tulang belakang kejayaan penulis.Hal ini kerana Nabi Isa a.s ada meriwayatkan, “Sesungguhnya engkau tidak akan memperoleh apa yang engkau sukai,melainkan dengan kesabaranmu atas apa yang telah engkau sukai”.A. Samad Said dilihat sebagai tokoh yang tabah dan bersemangat tinggi.Sehingga kini,beliau masih gah berdiri dengan memegang sehelai kertas untuk menyampaikan puisinya serta terus memartabatkan kesusasteraan Melayu.Hal ini kerana beliau hanyalah seorang penulis untuk akhbar Utusan Melayu pada tahun 1956.Pada tahun 1961,beliau berjaya menghasilkan sebuah novel berjudul Salina yang mengetengahkan cerita berkenaan seorang pelacur.Beliau juga dikritik hebat namun atas ketabahannya,beliau berjaya meraih tempat pertama untuk Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.Maka terakamlah dalam sejarah perkembangan novel Melayu sebuah karya kreatif pertama yang mengangkat hidup seorang pelacur yang selama ini tidak berani diketengahkan oleh penulis-penulis tempatan.Cubaan beliau membuahkan hasil walaupun ada yang mengkritiknya.Hal ini kerana Emnet Le Compete ada menyatakan, “Orang yang belum pernah gagal sebenarnya orang yang belum pernah mencuba”.Sebelum ini pelacur dianggap sebagai perosak kesejahteraan masyarakat dan kalau disentuh pun hanya sambil  lalu sahaja.Namun ,A. Samad Said berjaya menyedarkan akan kemuliaan hati seseorang bukan boleh diukur secara luarannya sahaja.Jenis pekerjaan belum tentu mencerminkan kemuliaan hati.Beliau berhasrat mahu menjelaskan betapa kejamnya perang yang boleh merubah sikap dan tabii hidup seseorang.Masyarakat yang serba kekurangan selepas Perang Dunia Kedua di Singapura digambarkan dengan terperinci dalam Salina yang seterusnya membawa sinar baru dalam perkembangan novel Melayu dengan persoalan yang kompleks.

 Kesimpulannya, penulis yang berjaya ialah penulis yang rajin, suka membaca dan membuat renungan tentang kehidupan dengan lebih kritis. Sikap penulis yang peka terhadap sesuatu perkara menjadikan diri mereka begitu unik. Namun, masih ramai yang menganggap kerja menulis mudah dan tidak perlu satu masa yang panjang untuk menguasainya. Peribahasa 'sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain” membuktikan bahawa untuk menjadi penulis yang berjaya, seseorang itu memerlukan masa yang panjang untuk menguasainya.Nama-nama besar seperti Shahnon Ahmad,Ishak Haji Muhammad(Pak Sako),Azlan Tehrani dan A. Samad Said perlu dijadikan sebagai idola bagi memberi inspirasi dan aura sebagai penulis berjaya.Oleh yang demikian, terdapat banyak cara boleh dilakukan sebagai persediaan menjadi penulis yang berjaya.Segala-galanya terletak pada usaha seseorang.Antara  keratan puisi yang boleh kita kongsi bersama adalah seperti berikut:

Aku sedia kikis kikis parut-parut sengsara
membiarkannya pedih dalam bara dan makna;
aku ingin cuba himpun debu-debu bahagia
dari sisa-sisa duka,cebis-cebis nestapa
Tanah air ini terlalu indah untuk ditirani
            oleh rasa terlalu cemburu,atau,lebih pedih,
            oleh dendam dangkal tuju tanpa teraju
            atau cakap-cakap gunung,isinya lembah sampah.





No comments:

Post a Comment

Spongebob Coloring Pages