Saturday, December 1, 2012

Iman

Titik kehidupan (iman)
  Kehidupan adalah satu lukisan yang dilukis oleh pelukisya iaitu kita. Semua dari kita mempunyai warna-warna yang menarik dalam kehidupan. Namun, kadangkala sering tidak kita sedari bahawa warna ini bukan sahaja menunjukkan diri kita yang sebenar tetapi ia juga mempengaruhi gaya kehidupan kita. Jika kita berjaya mengelak coretan hitam di dalam kanvas kehidupan kita, maka ia adalah satu kejayaan hebat bagi kita. Sebenarnya, kehidupan kita berlandaskan tiga paksi utama yang rata-ratanya sering dipandang enteng oleh sesetengah kita. Masyarakat yang berada dalam kalangan pasca moden ini sering mengabaikan apa yang penting malah selalu memperbesarkan perkara yang remeh. Tiga perkara utama yang sangat penting ialah iman, hati dan nafsu. Ketiga elemen dalam aspek kehidupan kita seringkali berlegar dalam kancah kehidupan seorang insan. Ya, tiada manusia sempurna. Oleh yang demikian, kita perlu mengingati antara satu sama lain atas tiket kita sebagai seorang insan yang lemah. Insan yang tidak pernah terlepas dari melakukan dosa. Iman adalah antara aspek terpenting yang perlu difahami setiap manusia.
“Sesungguhnya di dalam diri manusia ada sebuah jasad. Jika ia baik, akan baik seluruh amalnya. Ketahuilah, ia adalah hati.”
                                                                                                               (Hadis Riwayat Ahmad)
  Iman tersusun rapi kepada 6 prinsip utama. Ia adalah mengenal Allah, mengenal alam, mengenal kitab-kitab Allah, mengenal para nabi dan rasul, mengenali hari akhirat dan juga mengenali qadar. Jika kita berjaya mengenal Allah atas cinta kita kepada-Nya, nescaya kehidupan ini akan indah. Namun, adakah kita betul-betul mengenal Allah sebaik kita dilahirkan ke bumi?Atau kita hanya mengenali Allah semasa saat kita menghadapi kesukaran dalam kehidupan?Atau hanya semasa kita inginkan kejayaan sementara di dunia ini. Tepuk dada tanya iman. Teruskan mengenal Allah dengan mengetahui sifat-sifatnya dan teruskan mempercayai-Nya kerana hanya Dialah yang layak disembah. Seterusnya, rukun iman kedua ialah mengenal alam.
Berapa ramai di antara kita yang mengucapkan “Subhanallah” jika melihat sesuatu kecantikan?Hal ini kerana alam ini adalah bukti utama mengapa kita perlu patuh dan taat kepada perintah Allah. Allah bukan sahaja menjadikan manusia dengan akal dan tubuh badan sempurna malah Allah juga berkuasa menetapkan sesuatu perkara. Seorang bukan Islam pernah bertanya, “Jika Tuhan itu sempurna, mengapa dia jadikan manusia tidak sempurna”? Hal ini kerana Allah itu mencipta sesuatu dengan sebab dan asas yang kukuh. Ingatlah bahawa sehelai daun di muka bumi ini tidak akan jatuh ke bumi tanpa izin Allah. Manusia yang dijadikan tidak sempurna adalah simbol untuk melahirkan rasa kesyukuran kepada manusia yang sempurna sifatnya supaya terus bersyukur. Mereka juga perlu mengetahui bahawa hidup ini boleh berubah sekelip mata dengan izin-Nya.
Wahai manusia, apakah yang telah menyebabkan engkau lalai dan leka daripada mengingati Tuhanmu yang mulia? Yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan anggota itu diciptakan), dalam apa jua bentuk dan rupa Allah menyusun kejadianmu seperti mana yang Dia kehendaki. (Al-Infithor : 6-8)
  Seterusnya, kita seharusnya mengenal kitab-kitab Allah. Bukan hanya dari segi kitab al-Quran, malah apa sahaja kitab yang berkaitan agama kita iaitu Islam. Islam itu mudah tetapi jangan memudahkan islam. Islam menuntut kita untuk mencari ilmu bermanfaat tetapai berapa ramai sahaja umat islam yang dahagakan ilmu berkaitan islam berbanding hiburan yang melalaikan?Berapa ramai sahaja umat kita yang masih berfikiran islam adalah cara kehidupan kita?Media massa masa kini adalah luas dan sesiapa sahaja boleh berhubung di mana-mana. Maka, ia terpulang kepada si pencari ilmu sama ada iamentarbiyahkan jiwa ke arah yang lebih baik atau terus hanyut dalam warna kehidupan yang hitam dan gelap. Imam Syahid Hasan Al-Banna berkata di dalam Risalah Muktamar Kelima: “Sesungguhnya proses pembinaan umat dan mendidik masyarakat, menggapai cita-cita dan memenangkan prinsip memerlukan ummah yang memiliki ‘kekuatan jiwa’ yang terungkap seperti berikut; keinginan yang padu yang tidak mampu dilemahkan, kesetiaan tanpa pengkhianatan, pengorbanan yang mulia yang membuang rasa bakhil dan mengetahui prinsip dan beriman dengan prinsip tersebut.” Al-Quran adalah kitab teragung di dunia kerana ia merangkumi setiap aspek kehidupan kita sama ada yang lama mahupun yang baharu. Kajilah ia sedalam mungkin agar kehidupan ini menjadi lebih bermakna untuk kita terapkan dalam setiap saat kehidupan kita. Nescaya dua malaikat yang sentiasa bersama kita akan mencatatkan amal kebaikan yang ingin kita lakukan walau di mana kita berada. Insya-Allah semoga para pembaca juga akan beroleh manfaat berguna apabila kita mengkaji ilmu akhirat. Sesungguhnya ilmu akhirat itu menjamin ilmu dunia. Barangsiapa yang mencari kebahagiaan akhirat, nescaya dia akan memperolehi bahagia di dunia dan akhirat. Namun, jika dia hanya cintakan kebahagiaan dunia, maka dia tidak akan dapat memperoleh kebahagiaan akhirat.
  Selain itu, kita juga diseru untuk mengenal para nabi dan Rasul. Nabi Muhammad s.a.w adalah nabi terakhir bagi semua umat Islam. Dialah contoh terbaik dan teragung bagi umat Islam keran dia  merupakan seorang manusia. Setiap tutur kata dan perbuatannya wajar dijadikan panduan hidup seorang insan. Hal ini kerana manusia sering kali mencontohi tokoh yang mereka sanjungi dan mengetepikan sunnah nabi. Alangkah eloknya jika kita berjaya mengikut hampir kesemua sunnah nabi dalam segenap aspek kehidupan kita.  Namun, pernahkah kita mengetahui riwayat hidup beliau? Jika belum, pujuklah hati supaya kamu masih berpeluang mengamalkan sunnahnya sebelum terlambat. Nabi sangat sayangkan umatnya dan cintakan kita sehingga dia sanggup menerima azab penderitaan saat getir kematiannya. Nabi juga sangat khuatir jika kita tidak menunaikan solat dan memohon kepada Allah untuk mengurangkan bilangan solat. Sungguh besar pengorbananmu ya Rasulullah. Dakwah dan perwatakanmu sungguh suci serupa embun di pagi hari.
  Dalam hadis Jiril yang mahsyur, ketika dia datang bertemu Nabi s.a.w dalam bentuk seorang badwi bertanya tentang Islam, iman dan ihsan, Nabi s.a.w menjawab tentang iman:Kamu percaya kepada Allah, para malaikatnya, kitab-kitabNya, para rasulNya, Hari   Terakhir (Hari Qiamat) dan kamu percaya kepada qadar (ketetapan Allah), baik dan buruknya. (Riwayat Muslim daripada Umar bin al Khottob r.a)
Rukun iman kelima ialah mengenali hari akhirat dan persitiwanya. Saban hari kita terlupa bahawa kematian itu pasti. Berapa ramai antara kita yang menyedari hakikat hari akhirat iaitu hari pembalasan bagi seluruh umat sejagat. Diceritakan pelbagai kisah ngeri berkenaan azab dalam neraka Jahanam dan keindahan syurga Firdaus. Jika ditanya kepada semua pembaca hatta yang sedang melakukan maksiat pun, mereka pasti akan memilih syurga. Seburuk mana pun kamu di dunia, percayalah pintu taubat tidak pernah tertutup jika masih ada lagi cahaya iman di dalam hati kamu. Mengenali hari akhirat bukan sahaja akan memberi kesedaran kepada kita, malah memujuk hati kita supaya terus beribadat kepada Allah bagi mendapatkan kebahagiaan yang tiada berpenghujung. Ayah pernah berpesan, “ Sesiapa yang mendengar azan tetapi tidak ke masjid akan di curahkan tembaga yang panas menggelegak ke dalam telinganya.” Betapa peritnya orang-orang yang sengaja mencampakkan diri mereka ke dalam api neraka.
Allah berfirman di dalam Surah al-Baqarah ayat 195- bermaksud:
Jangan kamu mencampak diri kamu kepada kebinasaan’.
Namun, masih ada yang kuat mengangkat berat di mana-mana gimnasium tetapi lemah mengangkat takbir di surau dan masjid.
  Akhir sekali, kita hendaklah mengenali qadar yang menjadi landasan sistem alam sejagat. Ia bertujuan membekalkan sesorang dengan kekuatan dan keupayaan untuk berhadapan dengan pelbagai halangan dan kesusahan. Boleh jadi kesusahan yang kita rasakan perit itu akan menjadi titik tolak kepada kebahagiaan kita. Jika tidak di dunia, mungkin di akhirat kelak. Ketahuilah bahawa takdir Allah itu adalah yang terbaik dari setiap segi. Tidak ada kebetulan dalam hidup ini di mana kita ditakdirkan terhadap sesuatu perkara namun kita berpeluang mengubahnya untuk mendapatkan pilihan yang terbaik dalam kehidupan. Kehidupan ini bukan untuk bersenang lenang dan berserah segalanya dengan takdir tetapi kita pelu kuat dan bangkit untuk meneruskan kehidupan sebaik yang boleh. Mencari berkat dan kekuatan daripada Allah adalah yang sebaiknya. Jika kamu masih hidup pada hari ini, ingatlah dosa yang kamu lakukan pada masa lampau. Hal ini kerana kamu masih banyak lagi peluang untuk melakukan kebaikan kepada diri dan orang lain. Jagalah agama kamu nescaya kamu akan selamat.
  Jelaslah bahawa iman adalah bertujuan untuk mendidik peribadi manusia, membersihkannya dan memandu jiwa ke arah yang lebih agung. Ia adalah ruh bagi setiap manusia yang menghidupkan tabie manusia. Tanpanya, ruh akan mati. Ia adalah cahaya yang sangat indah. Apabila cahaya itu hilang daripada manusia, manusia akan sesat dalam fatamorgana kehidupan dan hancur dalam kemusnahan kesesatan. Firman Allah Taala:
Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah dia membezakan antara yang benar dan yang salah, dan dapatlah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? (al-An’am:122)


            

No comments:

Post a Comment

Spongebob Coloring Pages